Wednesday, July 28, 2010

Manusia Adalah Aset

Salam sejahtera dan selamat pagi. Sudah lama juga tidak menulis lantaran kesibukan kerja dan mesyuarat yang berlarutan selama dua minggu. Hari ini merupakan hari terakhir mesyuarat belanjawan untuk pembangunan. Macam-macam pengalaman dan pelajaran yang diperoleh ketika mengikuti sesi mesyuarat yang lama seumpama ini.

Ketika menyemak email pagi ini saya telah terbaca satu posting menarik dari teman dari goodreads yang menyentuh mengenai sebuah buku bertajuk Bagaimana Menyentuh Hati, karya Abbas as-Siisiy. Salah satu ulasan pembaca tersebut adalah Manusia adalah aset dan bukan beban kepada kita. Ya memang tepat sekali manusia adalah aset yang amat berharga kepada kehidupan sebuah masyarakat kita. Untuk menjadikan aset (baca : manusia) kita perlu membuat sedikit pelaburan ke atas mereka. Sebagai cont0h memberi pendidikan sewajarnya, seperti dalam bidang akademik. Dengan ilmu pengetahuan ini akan menjadikan mereka pandai dan mampu berdikari serta menyumbang kepada kehidupan diri sendiri dan masyarakat lain amnya.

Dalam konteks sebuah keluarga, usahlah kita menganggap sebuah keluarga yang mempunyai ahli yang ramai sebagai satu beban seperti beban untuk memberi makan, memberi sekolah, membeli pakaian dan sebagainya. Akan tetapi jika dengan perancangan dan pengurusan sumber kewangan yang betul sumber yang terhad insya-Allah akan sentiasa mencukupi.

Saya datang dari keluarga yang sederhana dan mempunyai adik beradik seramai 8 orang. Walaupun hanya seorang ketua keluarga yang bernama ayah yang bekerja untuk mencari sumber kewangan dan dibantu pengurusan oleh seorang ibu, kami memperoleh segalanya seperti pakaian, makanan dan mampu melanjutkan pelajaran sehingga ke menara gading.

Menurut ibu, pelajaran adalah aset yang berharga yang perlu dimiliki untuk bekalan dalam kehidupan pada masa depan. Aset ini amat berharga kerana dengan memiliki ilmu yang mencukupi akan dapat mengeluarkan diri dari garis kemiskinan, dan juga akan membolehkan kita meneroka apa sahaja peluang-peluang yang tersedia di dunia realiti seperti pekerjaan, perniagaan, dakwah dan sebagainya.

Sebab itulah anggaplah setiap manusia yang kita jumpa adalah aset walaupun kita tidak menyukainya. Manalah tahu satu hari nanti apabila kita melabur ke atas aset ini ianya akan dapat membantu bukan sahaja kepada diri kita tetapi kepada masyarakat lain secara amnya.

Jadi bagaimana hendak bermulanya sebuah pelaburan? Mulakan dengan memberi sebuah buku untuk membolehkan mereka meneroka ilmu pengetahuan walaupun buku itu sebenarnya mengajar mengenal 1, 2, 3 dan juga A. B dan C.

2 comments:

  1. Sokong... Nak mintak husband saya belikan buku satu untuk sayalah.. :)

    ReplyDelete
  2. Memang boleh tolong beli dan pada masa sama kirim juga duit yang mencukupi. Kalau tidak mencukupi, buku tidak keluar.

    Bersambung kepada pelaburan ke atas asset ini akan dapat memberi galakkan anak-anak untuk menjadi seorang insan yang kreatif. Dengan membeli permainan yang dapat menanam benih inovasi dan kreativiti akan dapat melahirkan manusia yang dapat menghasilkan ciptaan yang berguna untuk tujuan komersil dan membantu manusia dalam urusan seharian mereka.

    ReplyDelete