Monday, July 12, 2010

Berakhirnya Sebuah Kejohanan Besar

Berakhir sudah penantian siapakan juara Piala Dunia 2010 di bumi Afrika Selatan. Kejayaan manis pasukan Sepanyol menewaskan Belanda dengan kemenangan tipis adalah hasil kerja keras dan kerja berpasukan yang patut dicontohi oleh mana-mana negara termasuk Malaysia. Bilakah lagi kita akan menyaksikan pasukan negara untuk melayakkan diri ke pusingan akhir Piala Dunia. Mungkin empat tahun akan datang di Brazil, dan marilah kita tunggu kemunculan pemain muda bertaraf antarabangsa.

Dan satu lagi apa yang menarik untuk difikirkan ialah kemampuan sebuah negara di benua Afrika untuk menganjurkan sebuah pertandingan yang besar seumpama ini. Sudah tentu persoalan seperti logistik, keselamatan dan sebagainya menjadi tanda tanya apabila FIFA mengambil keputusan untuk menganugerahkan hak penganjuran kepada Afrika Selatan suatu ketika dahulu. Namun apa yang kita lihat segala perlawanan berjalan dengan lancar tanpa ada sebarang cacat cela yang boleh menjejaskan imej pihak penganjur.

Kejohanan besar seumpama ini sudah tentu melonjak pendapatan dan pertumbuhan ekonomi negara Afrika Selatan untuk tempoh enam hingga 12 bulan. Pertambahan permintaan terhadap sektor pengangkutan, perhotelan dan makanan telah berjaya membawa pengaliran masuk wang mata asing ke negara Afrika Selatan. Sebelum ini, pembinaan kemudahan dan prasarana seperti stadium turut mewujudkan beribu-ribu peluang pekerjaan. Hal ini sudah tentu mampu mendatangkan kesan berganda (multiply effect) kepada ekonomi Afrika Selatan.

Berdasarkan kepada pencapaian yang telah diperoleh negara Afrika Selatan itu, maka ramai pemimpin dunia dan peminat bola sepat berusaha untuk melobi bagi mendapatkan hak penganjuran pertandingan yang berpestij ini. Bagi negara Brazil, penganjuran pertandingan buat kali kedua selepas era 1960an dahulu akan membayangkan kepada usaha berganda negara itu untuk menjadikan sukan bola sepak sebagai sumber pendapatan utama negara itu.

Negara Brazil boleh diumpamakan sebagai sebuah kilang yang mampu untuk melatih dan melahirkan beribu-ribu pemain muda yang berbakat. Jika kita lihat sebahagian pemain yang mempunyai kemahiran yang tinggi bermain di kelab-kelab bolasepak ternama di Eropah seperti Real Madrid, Seville, Barcelona, Manchester United dan sebagainya. Malah bola sepak diibaratkan sebagai satu agama bagi rakyat di Brazil. Mereka menganggap hidup tanpa bermakna tanpa bola sepak. Pendek kata tidur mimpi bola sepak, jaga asyik terkenang bola sepak.

1 comment: