Thursday, July 29, 2010

Ilham dari Persekitaran Kita

Saya merupakan seorang yang suka menghabiskan masa-masa sengang ketika cuti hujung minggu atau cuti umum untuk membaca. Purata sebuah buku boleh dihabiskan dalam masa satu minggu. Kadang kala sempat juga membaca pada waktu rehat sebelah tengah hari atau sebelah malam untuk menyambung bahan bacaan yang sememangnya menarik dan mengujakan.

Sebenarnya terlalu banyak membaca tanpa mengaplikasikannya akan menjadi minda kita pasif atau dorman. Sehubungan itu, dengan banyak menulis dan memerhatikan alam sekeliling akan mengembangkan lagi kemahiran berfikir kita.

Apabila terbaca blog tulisan isteri saya mengenai penyelesaian masalah yang dicadangkan oleh anak kedua kami mengenai mengunci pintu dari luar dan mencampakkan kunci ke dalam merupakan satu idea yang menarik, segar dan penuh kreativiti. Sememangnya anak-anak dilingkungi oleh banyak imaginasi dalam kehidupan mereka.

Untuk makluman, anak kedua kami amat lambat menguasai kemahiran membaca. Akan tetapi satu kebolehan yang dapat diperhatikan ialah kemampuan membuat cerita yang berasal dari kepala sendiri (unconscious self-cognitive process) atau cerita-cerita yang disambung dari hasil mendengar percakapan orang lain atau melalui tontonan siri televisyen.

Berdasarkan pendapat peribadi saya kemahiran ini adalah berpunca dari penghayatan kepada unsur-unsur yang berada disekeliling kita seperti manusia yang bergerak, kucing meminta makanan, adik yang ketawa, kedudukan kerusi dan meja, malah kenderaan yang sedang parking. Semua unsur ini akan bergabung dengan pengalaman atau kemahiran lepas yang pernah dipelajari dan dikuasai.

Sebab itulah idea mengunci dari luar dan menyerahkan anak kunci melalui tingkat merupakan satu idea yang spontan. Pendek kata, kadar kemahiran berdikari atau survival amat tinggi. Dalam sesetengah situasi apabila berlaku satu kerumitan atau masalah yang perlu diselesaikan segera sedangkan masalah tersebut jarang berlaku atau benda baru idea spontan amat diperlukan.

Sehubungan itu, salah satu pelaburan ke atas aset yang berharga ini ialah dengan menyediakan permainan penyelesaian masalah seperti lego untuk meransang minda anak-anak untuk berfikir secara kreatif dan inovatif. Seseungguhnya pelaburan ke atas pelajaran anak-anak merupakan pelaburan yang amat berharga.

Wednesday, July 28, 2010

Manusia Adalah Aset

Salam sejahtera dan selamat pagi. Sudah lama juga tidak menulis lantaran kesibukan kerja dan mesyuarat yang berlarutan selama dua minggu. Hari ini merupakan hari terakhir mesyuarat belanjawan untuk pembangunan. Macam-macam pengalaman dan pelajaran yang diperoleh ketika mengikuti sesi mesyuarat yang lama seumpama ini.

Ketika menyemak email pagi ini saya telah terbaca satu posting menarik dari teman dari goodreads yang menyentuh mengenai sebuah buku bertajuk Bagaimana Menyentuh Hati, karya Abbas as-Siisiy. Salah satu ulasan pembaca tersebut adalah Manusia adalah aset dan bukan beban kepada kita. Ya memang tepat sekali manusia adalah aset yang amat berharga kepada kehidupan sebuah masyarakat kita. Untuk menjadikan aset (baca : manusia) kita perlu membuat sedikit pelaburan ke atas mereka. Sebagai cont0h memberi pendidikan sewajarnya, seperti dalam bidang akademik. Dengan ilmu pengetahuan ini akan menjadikan mereka pandai dan mampu berdikari serta menyumbang kepada kehidupan diri sendiri dan masyarakat lain amnya.

Dalam konteks sebuah keluarga, usahlah kita menganggap sebuah keluarga yang mempunyai ahli yang ramai sebagai satu beban seperti beban untuk memberi makan, memberi sekolah, membeli pakaian dan sebagainya. Akan tetapi jika dengan perancangan dan pengurusan sumber kewangan yang betul sumber yang terhad insya-Allah akan sentiasa mencukupi.

Saya datang dari keluarga yang sederhana dan mempunyai adik beradik seramai 8 orang. Walaupun hanya seorang ketua keluarga yang bernama ayah yang bekerja untuk mencari sumber kewangan dan dibantu pengurusan oleh seorang ibu, kami memperoleh segalanya seperti pakaian, makanan dan mampu melanjutkan pelajaran sehingga ke menara gading.

Menurut ibu, pelajaran adalah aset yang berharga yang perlu dimiliki untuk bekalan dalam kehidupan pada masa depan. Aset ini amat berharga kerana dengan memiliki ilmu yang mencukupi akan dapat mengeluarkan diri dari garis kemiskinan, dan juga akan membolehkan kita meneroka apa sahaja peluang-peluang yang tersedia di dunia realiti seperti pekerjaan, perniagaan, dakwah dan sebagainya.

Sebab itulah anggaplah setiap manusia yang kita jumpa adalah aset walaupun kita tidak menyukainya. Manalah tahu satu hari nanti apabila kita melabur ke atas aset ini ianya akan dapat membantu bukan sahaja kepada diri kita tetapi kepada masyarakat lain secara amnya.

Jadi bagaimana hendak bermulanya sebuah pelaburan? Mulakan dengan memberi sebuah buku untuk membolehkan mereka meneroka ilmu pengetahuan walaupun buku itu sebenarnya mengajar mengenal 1, 2, 3 dan juga A. B dan C.

Monday, July 12, 2010

Berakhirnya Sebuah Kejohanan Besar

Berakhir sudah penantian siapakan juara Piala Dunia 2010 di bumi Afrika Selatan. Kejayaan manis pasukan Sepanyol menewaskan Belanda dengan kemenangan tipis adalah hasil kerja keras dan kerja berpasukan yang patut dicontohi oleh mana-mana negara termasuk Malaysia. Bilakah lagi kita akan menyaksikan pasukan negara untuk melayakkan diri ke pusingan akhir Piala Dunia. Mungkin empat tahun akan datang di Brazil, dan marilah kita tunggu kemunculan pemain muda bertaraf antarabangsa.

Dan satu lagi apa yang menarik untuk difikirkan ialah kemampuan sebuah negara di benua Afrika untuk menganjurkan sebuah pertandingan yang besar seumpama ini. Sudah tentu persoalan seperti logistik, keselamatan dan sebagainya menjadi tanda tanya apabila FIFA mengambil keputusan untuk menganugerahkan hak penganjuran kepada Afrika Selatan suatu ketika dahulu. Namun apa yang kita lihat segala perlawanan berjalan dengan lancar tanpa ada sebarang cacat cela yang boleh menjejaskan imej pihak penganjur.

Kejohanan besar seumpama ini sudah tentu melonjak pendapatan dan pertumbuhan ekonomi negara Afrika Selatan untuk tempoh enam hingga 12 bulan. Pertambahan permintaan terhadap sektor pengangkutan, perhotelan dan makanan telah berjaya membawa pengaliran masuk wang mata asing ke negara Afrika Selatan. Sebelum ini, pembinaan kemudahan dan prasarana seperti stadium turut mewujudkan beribu-ribu peluang pekerjaan. Hal ini sudah tentu mampu mendatangkan kesan berganda (multiply effect) kepada ekonomi Afrika Selatan.

Berdasarkan kepada pencapaian yang telah diperoleh negara Afrika Selatan itu, maka ramai pemimpin dunia dan peminat bola sepat berusaha untuk melobi bagi mendapatkan hak penganjuran pertandingan yang berpestij ini. Bagi negara Brazil, penganjuran pertandingan buat kali kedua selepas era 1960an dahulu akan membayangkan kepada usaha berganda negara itu untuk menjadikan sukan bola sepak sebagai sumber pendapatan utama negara itu.

Negara Brazil boleh diumpamakan sebagai sebuah kilang yang mampu untuk melatih dan melahirkan beribu-ribu pemain muda yang berbakat. Jika kita lihat sebahagian pemain yang mempunyai kemahiran yang tinggi bermain di kelab-kelab bolasepak ternama di Eropah seperti Real Madrid, Seville, Barcelona, Manchester United dan sebagainya. Malah bola sepak diibaratkan sebagai satu agama bagi rakyat di Brazil. Mereka menganggap hidup tanpa bermakna tanpa bola sepak. Pendek kata tidur mimpi bola sepak, jaga asyik terkenang bola sepak.

Sunday, July 11, 2010

Sepanyol Juara

Sepanyol mencipta sejarah tersendiri apabila menjulang Piala Dunia 2010 di Bumi Afrika Selatan buat pertama kali. Pasukan tersebut berjaya mengalahkan pasukan Belanda dengan kemenangan tipis 1-0. Gol telah dijaringkan oleh Andrei Inesta pada masa tambahan kedua.

Perlawanan yang mendebarkan ini terpaksa berlangsung pada masa tambahan apabila kedua-dua pasukan masing-masing terikat tanpa jaringan selepas perlawanan 90 minit. Kelebihan kepada Sepanyol menjelma apabila seorang pemain Belanda John Hetingga dibuang padang. Kejayaan ini amat bermakna kepada Sepanyol kerana mereka berjaya mengulangi kecemerlangan selepas berjaya dalam Piala Eropah pada tahun 2008.

Friday, July 9, 2010

Misi Mencipta Sejarah Dunia

Malam ini akan berlangsung perlawanan untuk menentukan tempat ketiga dan keempat dalam kempen Piala Dunia Afrika 2010. Pertemuan pasukan German dan Uruguay merupakan perlawanan ke-63 dan menyaksikan pertembungan satu-satunya wakil dari Benua Afrika Selatan setelah pasukan pilihan ramai Brazil dan Argentina tersingkir awal pada pusingan suku akhir.

Pertemuan ini dijangka mempamerkan aksi hebat dengan pasukan masing-masing menyandarkan kepada pemain penyerang seperti Klose, Podolski dan Floran. Bagi pendapat penulis, pasukan yang bakal memenangi perlawanan ini ialah German dengan jaringan gol 4 berbalas 1.

Bagi perlawanan akhir menemukan pasukan Sepanyol dan Belanda pula, ianya akan melakarkan satu lagi sejarah keunikan bola sepak Piala Dunia edisi Afrika Selatan 2010, kerana mana-mana pasukan yang bakal menjulang Piala Dunia merupakan juara buat kali pertama.

Pasukan Brazil setakat ini berjaya menjadi juara sebanyak 5 kali, Itali 4 kali, German, 3 kali, Argentina 2 kali, Uruguay 2 kali, England 1 kali dan Perancis 1 kali. Tetapi dalam perlawanan akhir kali ini, penulis optimis Sepanyol bakal menjadi juara.

Thursday, July 8, 2010

Kisah Motivasi dari Afrika Selatan

Saya pernah membaca sebuah kisah motivasi mengenai kemasyhuran seorang raja yang kaya raya dan memiliki harta yang bertimbun-timbun tidak terkira hitungnya terletak di timur dan barat. Satu hari raja tersebut bertanya kepada memanda menterinya bagaimanakan baginda dapat menggunakan hartanya untuk kebajikan para rakyatnya.

Tanpa membuang masa dan melakukan sesi cambah fikiran (brainstorming) yang memeningkan kepala bendahara telah memberi idea yang sangat bernas kepada baginda raja. "Ampun tuanku beribu-ribu kali ampun, patik ada mempunyai satu cadangan. Harap tuanku sudi mendengar dan membuat pertimbangan. Adapun cadangan patik ialah agar diadakan satu pertandingan untuk mencari seorang pemuda yang paling berani sekali untuk menyeberangi sungai yang penuh dengan bintang yang buas-buas belaka. Pemuda yang sanggup menggalas cabaran berenang merentas sungai tersebut tuanku hadiahkan sebanyak mana harta dan persalinan yang tuanku persetujui".

Tuanku amat tertarik dan bersetuju dengan cadangan memanda menterinya. Serta merta baginda menitahkan bendehara untuk mengeluarkan warta kepada seluruh rakyat jelata tentang peraduan tersebut. Amat berbesar hati baginda kerana memiliki memanda menteri yang cepat berfikir dan cerdik seperti itu.

Telah tiba hari yang dijanjikan maka berkumpullah segala rakyat jelata di tebing sebuah sungai yang terkenal dengan penuh segala binatang bisa dan buas. Maka bertitahlah raja mengumumkan sesiapa yang berani menyahut cabaran baginda akan mendapat ganjaran yang lumayan. Semua tertarik dan terpegun seketika dengan tawaran harta, tanah yang luas, emas, berlian dan segalanya. Akan tetapi tiada sesiapa yang berani untuk tampil ke hadapan.

Setelah menunggu hampir setengah jam, raja mula membuat tawaran tambahan sesiapa yang berani mencuba akan dijadikan menantu baginda dan akan dikahwinkan seorang puteri yang cantik jelita. Majlis pernikahan akan diadakan selama sebulan dan dibiayai sepenuhnya oleh raja. Suasana sekitar tebing sungai menjadi hiruk pikuk dengan suara manusia yang mengulas dan memuji-muji kesungguhan raja untuk mencari calon menantunya yang paling berani.

DEBBUS...........Tiba-tiba suasana ditebing kecoh dengan kelibat seorang pemuda yang terjun dan mula berenang ke arah tebing yang satu lagi. Semua penonton bertepuk tangan untuk memberi
dorongan dan semangat. "Cepat...cepat... kalau tidak engkau akan dibaham sang buaya, "teriak para penonton. Maka dipendekkan cerita berjayalah pemuda tersebut berenang sehingga sampai ke seberang dengan baju dan seluarnya koyak rabak. Mujurlah dia masih selamat dan tidak tercedera sedikit pun.

Raja amat bangga apabila ada di kalangan rakyatnya yang berani menyahut cabaran. Tanpa berlengah-lengah baginda turun dari takhtanya untuk melihat sendiri keadaan pemuda tersebut.

"Tahniah nak... beta amat gembira tuan hamba selamat. Beritahu beta apakah rahsia yang mendorong tuan hamba untuk menyahut cabaran, "titiah raja. Pemuda tersebut terpingga-pingga dengan soalan raja yang tidak difahaminya itu. Cuma difikirkan oleh pemuda tersebut adalah satu sahaja. Bukan tawaran harta yang lumayan atau puteri raja yang jelita. Dengan perasaan yang marah pemuda tersebut mahu tahu siapa yang menolaknya ke dalam sungai itu. "Beritahu hamba, siapa yang tolak hamba ke dalam sungai itu, "teriak pemuda tersebut.

Berbeza pula kisah sempena Piala Dunia Afrika Selatan. Pada penghujung minggu ini akan berlangsung pertandingan akhir Piala Dunia antara Belanda dan Sepanyol. Untuk mendapat satu tiket menyaksikan perlawan akhir, sebuah penganjur tempatan telah menawarkan kepada sesiapa yang berminat untuk membuat sesuatu pekerjaan yang menarik perhatian para juri.

Maka seorang pemuda telah menyahut cabaran dengan berenang di sebuah sungai yang terkenal dengan didiami oleh buaya yang ganas. Pemuda tadi ditemani isteri dan adiknya yang membawa senapang patah untuk menghadapi sebarang kemungkinan di serang reptilia tersebut. Ternyata nasib menyebelahi pemuda tersebut apabila terselamat dan buaya ganas tidak keluar waktu beliau sedang berenang sepanjang 60 meter.

Mujurlah pemuda-pemuda yang saya kisahkan di atas selamat. Pengajarannya kadang-kadang kita perlu ada faktor penolak untuk mendorong kita lebih berjaya.

Wednesday, July 7, 2010

Sepanyol Layak Ke Akhir

Akhirnya penantian selama ini telah membuahkan hasil. Begitulah nasib yang menyebelahi pasukan Sepanyol apabila berjaya menewaskan pasukan bimbingan Joachim Loew dengan kemenangan tipis 1-0. Gol pada lewat separuh masa kedua jaringan Fuyol dengan tandukan cantik telah melenyapkan impian pasukan German untuk cubaan merangkul kejuaraan Piala Dunia buat kali keempat. Pasukan Sepanyol berjaya melayakkan ke pertandingan akhir buat kali pertama.

Pertemuan Belanda dan Sepanyol merupakan pertemuan yang akan melakarkan satu sejarah tersendiri apabila kedua-dua pasukan sebelum ini belum pernah menjuarai pertandingan Piala Dunia. Mana-mana pasukan yang akan memenangi perlawanan pada 11 Julai 2010 nanti bakal mencatat sejarah dunia bola sepak. Penulis tetap meramalkan pasukan Sepanyol akan muncul menjadi johan piala dunia edisi Afrika Selatan.

Tuesday, July 6, 2010

Kisah Dua Belon

Belon yang hendak dikisahkan dalam tulisan ini adalah belon atau gelembung yang boleh membesar sebesar mungkin apabila dimasukkan angin. Kanak-kanak suka bermain belon, apabila diisi angin ianya akan membesar dan semakin membesar sekiranya berterusan diisi angin. Manakala orang tua juga amat meminati belon kerana ianya akan mengimbau kembali zaman kegirangan sewaktu mereka di alam kanak-kanak dan remaja.

Dalam kisah ini belon ini ditiup oleh dua orang kanak-kanak. Satu belon ditiup di dalam rumah dan satu lagi ditiup di luar rumah. Kita andaikan belon ini amat elastik dan tidak akan pecah jika ditiup secara berterusan. Setelah bertungkus lumus meniup belon, kanak-kanak pertama mendapati belon yang ditiupnya telah memenuhi setiap ruang di dalam rumah. Walaupun dipaksa terus menerus meniup tetapi besar belon tersebut tetap sama.

Berbeza pula dengan situasi kanak-kanak kedua kerana masih lagi mampu meniup sepuas hatinya. Beliau menikmati usaha yang tidak terbatas kerana bukan sahaja belon tersebut berjaya ditiup sebesar rumah malah lebih dari itu.

Jika kita mengambil pengajaran kisah dua belon di atas begitulah juga dalam kehidupan harian seorang pekerja. Seorang yang bekerja dengan majikan sama ada kerajaan dan swasta pendapatan yang diperoleh hanya terhad di dalam tangga gaji yang ditetapkan. Akan tetapi pekerja yang bekerja sendiri atau seorang usahawan sebenarnya berpotensi memperoleh pendapatan tanpa terhad atau tiada tangga gaji khusus. Sebab itulah kita boleh lihat golongan usahawan merupakan golongan yang menjadi peneraju utama pembangunan ekonomi masyarakat kita.

Jadi manakah langkah yang perlu kita pilih. Sama ada kita memiliki satu belon atau dua belon? Kekayaan yang hendak kita kejar tidak terbatas. Fikir-fikirkan.....

Belanda Menguburkan Penguasaan Amerika Latin

Semalam seluruh dunia telah dimaklumkan mengenai pemecatan Dunga, Jurulatih Pasukan Kebangsaan Brazil setelah gagal membawa pasukan tersebut ke pusingan separuh akhir. Brazil telah ditewaskan oleh Belanda 1-2 pada penghujung minggu lepas.

Pada awal pagi ini (waktu Malaysia) Belanda sekali lagi berjaya menjinakkan Uruguay yang merupakan satu-satunya pasukan Amerika Selatan yang masih lagi bersaing diperingkat separuh akhir. Namun pasukan Uruguay masih berpeluang untuk merebut tempat ketiga.

Pada awal pagi esok pasukan pilihan Spain akan menentang pasukan hebat Germany. Sekiranya Spain berjaya menundukkan Germany maka Piala Dunia Afrika 2010 akan mencatat sejarah apabila pasukan yang bakal beraksi di peringkat akhir merupakan pasukan yang pertama kali memenangi Piala Dunia. Penulis meramalkan Spain menewaskan Germany 2-1

Monday, July 5, 2010

Lawatan Ke Kampung Penibong, Daro

Pada 2 Julai 2010 lepas, penulis berpeluang untuk mengikuti rombongan pegawai pemantau projek Persekutuan dari Pejabat Pembangunan Negeri (SDO) untuk melawat projek di Kampung Penibong Pulau Bruit, Daro. Projek yang dimaksudkan ialah naiktaraf loji air Kampung Penibong.

Projek ini merupakan usaha kerajaan persekutuan dan negeri untuk menyediakan kemudahan bekalan air bersih kepada kira-kira 3,500 orang penduduk di empat buah kampung iaitu Kampung Penibong, Penyuai, Betanak dan Salah Kecil. Berhampiran dengan tapak projek terdapat sebuah loji bekalan air milik Jabatan Mineral dan Geosains. Walaupun berfungsi tetapi operasi loji ini masih terhad. Oleh demikian, projek naiktaraf ini akan dapat memberi faedah kepada penduduk sekitar empat buah kampung yang kini rata-rata memperoleh sumber bekalan air melalui kaedah tadahan air hujan (rain harvesting system).

Apabila loji ini siap kelak, sumber air berpunca dari empat buah telaga (tube well) yang terletak lebih empat kilometer. Namun, akibat pembangunan yang pesat di sekitar kawasan kampung iaitu ladang kelapa sawit secara komersial, mungkin sumber air dari telaga ini tidak dapat bertahan lama. Sehubungan itu, salah satu pelan jangka masa panjang ialah menyambungkan paip bekalan air dari Sibu atau Sarikei pada masa hadapan.

Salah satu perkara yang menarik untuk diperkatakan di sini ialah mengenai perjalanan ke tapak projek ini memakan masa hampir 5 jam. Bertolak dari Hotel Kingwood Mukah seawal 7 pagi. Tiba di Pekan Daro dalam jam 9.15 pagi. Selepas minum pagi dan mendengar sedikit penerangan dari Jurutera Daerah JKR Daro kami bertolak ke Pulau Bruit pada jam 11 pagi.

Halangan pertama ialah menaiki feri menyeberangi Batang Lassa untuk ke Pulau Bruit. Sampai di Kampung Kut Pulau Bruit dalam masa 30 minit. Selepas itu, terpaksa mengharungi jalan ladang yang becak selama 2 jam. Mujurlah menggunakan kenderaan pacuan 4 roda. Kalau tidak sudah tentu menghadapi banyak masalah. Sampai di penghujung jalan ladang rombongan kami terpaksa berjalan kaki selama 15 minit. Kemudian sampai di Kampung Penyuai pula kami membonceng motosikal untuk perjalanan lebih kurang 4 kilometer.

Perjalanan yang penuh berliku ini menginsafkan kami betapa sukarnya hidup di Pulau Bruit ini, tetapi rata-rata penduduk kampung, terutama anak-anak amat girang sekali seolah-olah tiada masalah yang tergambar di wajah mereka. Mereka amat suka dan mengalu-alukan kedatangan rombongan kami. Pendek kata alah bisa tegal biasa.

Manakala perjalanan pulang pula terpaksa menempuh jalan yang sama. Kami tiba di Mukah kira-kira jam 8.30 malam. Selepas makan malam saya ditemani kawan lama untuk menyaksikan perlawanan suku akhir Piala Dunia 2010 Afrika Selatan. Kebetulan pasukan Brazil bermain malam itu dan telah diaibkan oleh Holland, 1-2.

Sunday, July 4, 2010

Pasukan Eropah Menunjukkan Taring

Persaingan bola sepak Piala Dunia 2010 di Afrika Selatan hampir ke penghujung dengan menyaksikan empat lagi baki perlawanan sebelum penentuan juara pada 11 Julai 2010 ini. Apa yang menarik persaingan menjadi semakin sengit di kalangan pasukan dari benua Eropah setelah berjaya menguburkan dominasi pasukan kuat dari Amerika Selatan.

Dua buah gergasi iaitu Brazil dan Argentina masing-masing telah berjaya ditundukkan oleh pasukan Holland dan Jerman pada hujung minggu lepas. Pada persaingan peringkat kumpulan seolah-olah menyaksikan pasukan dari Benua Eropah tenggelam akibat asakan dan aksi hebat dari pasukan negara Latin, Afrika dan juga Asia. Namun pasukan Uruguay merupakan satu lagi pasukan dari Amerika Latin yang masih meneruskan perjuangan pada peringkat separuh akhir bertemu Holland pada 6 Julai 2010 nanti.