Thursday, July 8, 2010

Kisah Motivasi dari Afrika Selatan

Saya pernah membaca sebuah kisah motivasi mengenai kemasyhuran seorang raja yang kaya raya dan memiliki harta yang bertimbun-timbun tidak terkira hitungnya terletak di timur dan barat. Satu hari raja tersebut bertanya kepada memanda menterinya bagaimanakan baginda dapat menggunakan hartanya untuk kebajikan para rakyatnya.

Tanpa membuang masa dan melakukan sesi cambah fikiran (brainstorming) yang memeningkan kepala bendahara telah memberi idea yang sangat bernas kepada baginda raja. "Ampun tuanku beribu-ribu kali ampun, patik ada mempunyai satu cadangan. Harap tuanku sudi mendengar dan membuat pertimbangan. Adapun cadangan patik ialah agar diadakan satu pertandingan untuk mencari seorang pemuda yang paling berani sekali untuk menyeberangi sungai yang penuh dengan bintang yang buas-buas belaka. Pemuda yang sanggup menggalas cabaran berenang merentas sungai tersebut tuanku hadiahkan sebanyak mana harta dan persalinan yang tuanku persetujui".

Tuanku amat tertarik dan bersetuju dengan cadangan memanda menterinya. Serta merta baginda menitahkan bendehara untuk mengeluarkan warta kepada seluruh rakyat jelata tentang peraduan tersebut. Amat berbesar hati baginda kerana memiliki memanda menteri yang cepat berfikir dan cerdik seperti itu.

Telah tiba hari yang dijanjikan maka berkumpullah segala rakyat jelata di tebing sebuah sungai yang terkenal dengan penuh segala binatang bisa dan buas. Maka bertitahlah raja mengumumkan sesiapa yang berani menyahut cabaran baginda akan mendapat ganjaran yang lumayan. Semua tertarik dan terpegun seketika dengan tawaran harta, tanah yang luas, emas, berlian dan segalanya. Akan tetapi tiada sesiapa yang berani untuk tampil ke hadapan.

Setelah menunggu hampir setengah jam, raja mula membuat tawaran tambahan sesiapa yang berani mencuba akan dijadikan menantu baginda dan akan dikahwinkan seorang puteri yang cantik jelita. Majlis pernikahan akan diadakan selama sebulan dan dibiayai sepenuhnya oleh raja. Suasana sekitar tebing sungai menjadi hiruk pikuk dengan suara manusia yang mengulas dan memuji-muji kesungguhan raja untuk mencari calon menantunya yang paling berani.

DEBBUS...........Tiba-tiba suasana ditebing kecoh dengan kelibat seorang pemuda yang terjun dan mula berenang ke arah tebing yang satu lagi. Semua penonton bertepuk tangan untuk memberi
dorongan dan semangat. "Cepat...cepat... kalau tidak engkau akan dibaham sang buaya, "teriak para penonton. Maka dipendekkan cerita berjayalah pemuda tersebut berenang sehingga sampai ke seberang dengan baju dan seluarnya koyak rabak. Mujurlah dia masih selamat dan tidak tercedera sedikit pun.

Raja amat bangga apabila ada di kalangan rakyatnya yang berani menyahut cabaran. Tanpa berlengah-lengah baginda turun dari takhtanya untuk melihat sendiri keadaan pemuda tersebut.

"Tahniah nak... beta amat gembira tuan hamba selamat. Beritahu beta apakah rahsia yang mendorong tuan hamba untuk menyahut cabaran, "titiah raja. Pemuda tersebut terpingga-pingga dengan soalan raja yang tidak difahaminya itu. Cuma difikirkan oleh pemuda tersebut adalah satu sahaja. Bukan tawaran harta yang lumayan atau puteri raja yang jelita. Dengan perasaan yang marah pemuda tersebut mahu tahu siapa yang menolaknya ke dalam sungai itu. "Beritahu hamba, siapa yang tolak hamba ke dalam sungai itu, "teriak pemuda tersebut.

Berbeza pula kisah sempena Piala Dunia Afrika Selatan. Pada penghujung minggu ini akan berlangsung pertandingan akhir Piala Dunia antara Belanda dan Sepanyol. Untuk mendapat satu tiket menyaksikan perlawan akhir, sebuah penganjur tempatan telah menawarkan kepada sesiapa yang berminat untuk membuat sesuatu pekerjaan yang menarik perhatian para juri.

Maka seorang pemuda telah menyahut cabaran dengan berenang di sebuah sungai yang terkenal dengan didiami oleh buaya yang ganas. Pemuda tadi ditemani isteri dan adiknya yang membawa senapang patah untuk menghadapi sebarang kemungkinan di serang reptilia tersebut. Ternyata nasib menyebelahi pemuda tersebut apabila terselamat dan buaya ganas tidak keluar waktu beliau sedang berenang sepanjang 60 meter.

Mujurlah pemuda-pemuda yang saya kisahkan di atas selamat. Pengajarannya kadang-kadang kita perlu ada faktor penolak untuk mendorong kita lebih berjaya.

No comments:

Post a Comment