Monday, July 5, 2010

Lawatan Ke Kampung Penibong, Daro

Pada 2 Julai 2010 lepas, penulis berpeluang untuk mengikuti rombongan pegawai pemantau projek Persekutuan dari Pejabat Pembangunan Negeri (SDO) untuk melawat projek di Kampung Penibong Pulau Bruit, Daro. Projek yang dimaksudkan ialah naiktaraf loji air Kampung Penibong.

Projek ini merupakan usaha kerajaan persekutuan dan negeri untuk menyediakan kemudahan bekalan air bersih kepada kira-kira 3,500 orang penduduk di empat buah kampung iaitu Kampung Penibong, Penyuai, Betanak dan Salah Kecil. Berhampiran dengan tapak projek terdapat sebuah loji bekalan air milik Jabatan Mineral dan Geosains. Walaupun berfungsi tetapi operasi loji ini masih terhad. Oleh demikian, projek naiktaraf ini akan dapat memberi faedah kepada penduduk sekitar empat buah kampung yang kini rata-rata memperoleh sumber bekalan air melalui kaedah tadahan air hujan (rain harvesting system).

Apabila loji ini siap kelak, sumber air berpunca dari empat buah telaga (tube well) yang terletak lebih empat kilometer. Namun, akibat pembangunan yang pesat di sekitar kawasan kampung iaitu ladang kelapa sawit secara komersial, mungkin sumber air dari telaga ini tidak dapat bertahan lama. Sehubungan itu, salah satu pelan jangka masa panjang ialah menyambungkan paip bekalan air dari Sibu atau Sarikei pada masa hadapan.

Salah satu perkara yang menarik untuk diperkatakan di sini ialah mengenai perjalanan ke tapak projek ini memakan masa hampir 5 jam. Bertolak dari Hotel Kingwood Mukah seawal 7 pagi. Tiba di Pekan Daro dalam jam 9.15 pagi. Selepas minum pagi dan mendengar sedikit penerangan dari Jurutera Daerah JKR Daro kami bertolak ke Pulau Bruit pada jam 11 pagi.

Halangan pertama ialah menaiki feri menyeberangi Batang Lassa untuk ke Pulau Bruit. Sampai di Kampung Kut Pulau Bruit dalam masa 30 minit. Selepas itu, terpaksa mengharungi jalan ladang yang becak selama 2 jam. Mujurlah menggunakan kenderaan pacuan 4 roda. Kalau tidak sudah tentu menghadapi banyak masalah. Sampai di penghujung jalan ladang rombongan kami terpaksa berjalan kaki selama 15 minit. Kemudian sampai di Kampung Penyuai pula kami membonceng motosikal untuk perjalanan lebih kurang 4 kilometer.

Perjalanan yang penuh berliku ini menginsafkan kami betapa sukarnya hidup di Pulau Bruit ini, tetapi rata-rata penduduk kampung, terutama anak-anak amat girang sekali seolah-olah tiada masalah yang tergambar di wajah mereka. Mereka amat suka dan mengalu-alukan kedatangan rombongan kami. Pendek kata alah bisa tegal biasa.

Manakala perjalanan pulang pula terpaksa menempuh jalan yang sama. Kami tiba di Mukah kira-kira jam 8.30 malam. Selepas makan malam saya ditemani kawan lama untuk menyaksikan perlawanan suku akhir Piala Dunia 2010 Afrika Selatan. Kebetulan pasukan Brazil bermain malam itu dan telah diaibkan oleh Holland, 1-2.

No comments:

Post a Comment