Thursday, March 18, 2010

Bersantai di Starbuck The Spring

Tiupan trumpet memenuhi ruang di Starbuck tengah hari ini. Ruang agak lengang setelah pelanggan masing-masing menghabiskan sisa-sisa air minuman yang menyegarkan. Masing-masing telah menghilangkan dahaga dan kepingin untuk meneguk kopi segar yang dicampur sedikit dengan susu rendah lemak. Aku menggelarnya caffe latte. Jika diberi pilihan antara ice caffe latte dengan hot caffe latte aku lebih mengemari ketika air dingin melalui rongga tengkuknya seperti minum air batu campur. Terasa kopi segar kurang manis tetapi lazat berlemak.

Kesibukan manusia di sini dengan urusan masing-masing tidak sekali pun mendatangkan kebingungan kepada ku. Namun aku percaya pada saat hujung bulan tidak terkecuali masalah kering poket turut menjadi kebingungan semua orang termasuk aku. Walau pun harga sekole caffe latte hampir mencecah RM12, tapi itu bukan suatu masalah. Nikmat kopi segar menjadi satu kehendak yang perlu aku penuhi jika singgah atau bersantai-santai bersama keluarga.

Pada hari Jumaat adalah hari yang paling istimewa. Sambil menghirup caffe latte, didepan meja masing-masing terletak laptop. Permainan online menjadi kegilaan hampir berjuta manusia di dunia termasuk aku ialah Mafia Wars. Inilah gara-gara isteriku yang telah memperkenalkan buat mengisi masa lapangku di Mukah. Kini aku berjinak-jinak dengan Social City. Menjadi Datuk Bandar sebuah negeri virtual yang ku cipta berdasarkan imiginasi dan kreativiti ku. Penat bermain, kadang-kadang disulam dengan membaca buku atau berita-berita untuk menambah lagi inputku.

Ketika tiba waktu solat Jumaat, aku mula bergerak ke masjid yang letaknya bersebelahan The Spring. Kebiasaannya masjid ini penuh menjelang solat Jumaat. Jemaah adalah dikalangan pengunjung The Spring dan juga kakitangan kerajaan yang mempunyai pejabat berhampiran. Inilah salah satu kemudahan yang memudahkan orang ramai yang hendak mengerjakan ibadah setelah puas bersantai atau bekerja.


Wednesday, March 17, 2010

Sungai Adalah Kehidupan

Pagi ini suasana amat tenang. Cicipan pipit membingitkan hutan rimba di hujung desa itu. Sekumpulan enggang terbang rendah di atas sebuah sungai yang mengalir perlahan. Sungai itu berkocak riang tanda penghuninya telah sedar setelah gelap yang membungkus rimba pergi seketika diganti dengan cahaya suria yang semakin membahang.

Saat ini ikan-ikan yang berenang di dasar sungai mulai lapar. Berenang di setiap pelusuk dasar sungai mencari rezeki untuk mengalas perut kosong buat meneruskan kehidupan yang serba sederhana. Di sana sini penuh dengan makanan. Lumut amat sedap dimakan sedikit sedikit. Kalau ada cacing sesat di mamah beramai-ramai tanda muafakat yang telah lama tersimpul erat di dasar sungai itu.

Sungai ini adalah kebebasan. Kebebasan untuk ikan-ikan untuk menjelajah ke setiap lubuk. Membina penempatan dan membina keluarga. Ikan-ikan muda riang berenang bersama kumpulan mencari makanan dan menghirup udara segar. Sekali sekali muncul muncung di permukaan air. Meninggalkan kocakan kecil di dada muka sungai.

Si keluang amat seronok pagi ini. Bangun awal setelah terdengar bunyi kocakan air di luar lubuk keluarganya. Keluarga Kelisa awal-awal lagi sudah membuat kecoh di luar. Banyak makanan katanya. Ada lumut, plankton, buah-buahan dan juga cacing.

Cacing amat sedap. Sepantas itu juga keluang berasa amat terliur. Wah seronok kalau dapat makan cacing pagi-pagi ini. Serentak itu juga keluang telah keluar dari biliknya menuju keluar lubuk mereka. Ketika itu keluang melihat kelisa dan beberapa jenis ikan lain sibuk menghadapi hidangan makanan masing-masing.

Sungai adalah kehidupan

Sungai
Kau mengalir lesu
Di desa yang kelu
Dasarmu penuh seteru
Menjadi belenggu

Penghuni resah
Menyaksi engkau kian parah
Menghitung nasib
Di desa yang gundah

Sungai
Harapan penghuni
Terletak dibahumu
Bangkitlah
Wahai penghuni sungai
Gerakkan usahamu
Singkirkan debu seteru
Untuk mengalir deras

Tuesday, March 16, 2010

Lebih baik jangan bertangguh

Seronok memiliki kereta baru apatah lagi buatan luar negara. Kini memandu di jalan yang baik dan dilengkapi dengan kemudahan canggih telah memberi keselesaan dan keselamatan sepanjang pemanduan.

Semua sedia maklum memiliki sebuah kereta baru satu kepuasaan yang tidak dapat dikira. Seolah-olah mendapat seorang kekasih yang diidam-idamkan. Namun, seorang kekasih akan merajuk atau lari meninggalkan kita jika tidak dimaintain dan dijaga dengan baik. Begitu perumpamaan dengan kereta baru kita. Selain kita isi minyak dan jaga service pada masa yang ditetapkan kita perlu menyelesaikan bayaran ansuran bulanan tepat pada masanya.

Jika culas membayar ansuran atau bertangguh sudah tentu kita akan menghadapi masalah. Antaranya kita akan tidak berasa tenteram apabila saban waktu pihak bank atau pemuitang menelefon agar hutang ansuran diselesaikan segera. Kalau tidak tentu dikenakan bayaran faedah. Malah tidak keterlaluan juga sesetengah mengancam untuk menarik balik kereta baru yang telah kita miliki.

Sebenarnya, selagi bayaran ansuran kereta tidak diselesaikan, selagi itulah kereta baru itu bukan milik kita. Setelah semua settle barulah dikira kereta kita dan mendapat surat pelepasan dituntut oleh pihak bank atau pemiutang. Dan kita sudah tentu mendapat green card.

Sikap bertangguh patut dielakkan, apatah lagi tidak membayar ansuran. Selagi belum sah menjadi harta milik kita, maka pandai-pandailah menunaikan tanggung jawab untuk membuat ansuran walaupun terasa perit sekalipun.

Seorang pakar motivasi negara ini pernah menyarankan dalam buku tulisan beliau agar kita melangsaikan hutang ansuran tepat pada masanya. Malah beliau menggalakkan agar bayaran dibuat in advance untuk dua atau tiga bulan atau lebih jika berkemampuan. Rasionalnya kadang-kadang muncul keperluan secara mendadak. Ketika saat sesak atau kesempitan wang maka waktu itu mungkin bajet untuk membayar kereta terpaksa digunakan untuk menampung keperluan yang tiba-tiba dan datang secara tidak dirancang.

Apa yang penting, kita perlu menetapkan matlamat pada setiap awal tahun, awal bulan, awal setiap minggu dan awal pagi setiap hari untuk menyelesaikan segala hutang puitang kita agar hidup ini lebih bermakna dan selesa. Tanpa berhutang mungkin sukar untuk kita memiliki harta yang terpaksa menelan belanja yang besar. Jika tidak berhutang pun tidak bermakna hidup kita tidak bahagia. Namun walau apa pun kita perlu merancang sebaik-baiknya kehidupan kita. Rancanglah kewangan kita. Dimana sumbernya dan kemana hendak digunakan. Apa yang penting setiap komitmen jangan ditangguh.

Sungai

Sungai
Mengalir arus kehidupan
Berliku-liku
Tanpa jemu
Menempuh ruang
Meniti masa

Sungai yang lesu
Mengalir lemah
Kelu tidak bermaya
Terbantut rasa
Memuntah cemar

Sungai yang lesu
Menuntut ruang
Mengalir cergas
Ke muara cita-cita

Semangat IKS Seorang Ibu Tunggal

Pada pagi 16 Mac 2010 saya telah sempat mendengar satu berita tentang kejayaan seorang ibu tunggal dalam mengembangkan bisnes IKS dengan berkat ketabahan dan semangat untuk bekerja secara konsisten. Cerita bermula apabila Mbok (gelaran kepada Kakak) mula berjinak-jinak untuk memasarkan produk kerepek rempeyek di Stesen Minyak Petronas sekitar Bandaraya Kuching.

Pada mulanya, Mbok hanya membawa dua puluh bungkus kerepek rempeyek sebagai pemulaan dan sedikit kerepek sebagai sampel untuk dirasa oleh pelanggan. Tidak sampai satu hari kerepek Mbok telah habis dibeli. Satu petanda yang baik, kata Mbok sambil memberi senyuman lebarnya. Keesokan Mbok menghantar stok kerepek dan jumlahnya telah bertambah kepada 50 bungkus. Semunya habis dalam tempoh satu hari. Pengurus stesen minyak kemudian menelefon agar menambah stok kepada satu ratus bungkus. Begitulah bermula saat berkembangnya perniagaan Mbok.

Selepas itu, Mbok mula menembusi beberapa buah stesen minyak lain di sekitar Bandaraya Kuching dan Kota Samarahan. Dengan bangga Mbok menerangkan telah berjaya menjadi pembekal kerepek rempeyek kepada lebih 30 buah stesen minyak. Ini tidak termasuk di kedai-kedai makan, kedai kopi, supermarket dan kedai persendirian lain.

Strategi Mbok untuk meluaskan pasaran sehingga ke Sri Aman, Seratok dan Sarikei. Kini perniagaan telah semakin berkembang dan beliau tidak menang tangan untuk melakukan sendiri. Dengan mengupah beberapa orang pekerja terutama golongan ibu tunggal telah berjaya meningkatkan produktiviti.

Apa yang penting adalah pembungkusan kerepek rempeyek ini perlu berkualiti dan dapat memikat hati pembeli. Kita perlu melabur sedikit untuk memberi good impression terhadap produk kita, kata Mbok lagi.

Satu lagi strategi penting dalam memastikan kejayaan bisnes Mbok adalah sikapnya yang mesra dengan sesiapa sahaja, terutama kepada pekedai atau pemilik stesen minyak. Ke mana-mana pergi semua orang mengenali Mbok dan tahu apa produk yang hendak dijualnya. Beliau sendiri akan bergerak dari satu tempat ke satu tempat menghantar bekalan stok, memungut hasil jualan dan mempromosi produknya.

Untuk berjaya dalam bisnes kita jangan tamak, nasihat Mbok sebelum mengakhiri perbualan ringkasnya. Apa yang penting kita perlu pandai menjaga hati semua orang terutama pelanggan kita.