Tuesday, March 16, 2010

Semangat IKS Seorang Ibu Tunggal

Pada pagi 16 Mac 2010 saya telah sempat mendengar satu berita tentang kejayaan seorang ibu tunggal dalam mengembangkan bisnes IKS dengan berkat ketabahan dan semangat untuk bekerja secara konsisten. Cerita bermula apabila Mbok (gelaran kepada Kakak) mula berjinak-jinak untuk memasarkan produk kerepek rempeyek di Stesen Minyak Petronas sekitar Bandaraya Kuching.

Pada mulanya, Mbok hanya membawa dua puluh bungkus kerepek rempeyek sebagai pemulaan dan sedikit kerepek sebagai sampel untuk dirasa oleh pelanggan. Tidak sampai satu hari kerepek Mbok telah habis dibeli. Satu petanda yang baik, kata Mbok sambil memberi senyuman lebarnya. Keesokan Mbok menghantar stok kerepek dan jumlahnya telah bertambah kepada 50 bungkus. Semunya habis dalam tempoh satu hari. Pengurus stesen minyak kemudian menelefon agar menambah stok kepada satu ratus bungkus. Begitulah bermula saat berkembangnya perniagaan Mbok.

Selepas itu, Mbok mula menembusi beberapa buah stesen minyak lain di sekitar Bandaraya Kuching dan Kota Samarahan. Dengan bangga Mbok menerangkan telah berjaya menjadi pembekal kerepek rempeyek kepada lebih 30 buah stesen minyak. Ini tidak termasuk di kedai-kedai makan, kedai kopi, supermarket dan kedai persendirian lain.

Strategi Mbok untuk meluaskan pasaran sehingga ke Sri Aman, Seratok dan Sarikei. Kini perniagaan telah semakin berkembang dan beliau tidak menang tangan untuk melakukan sendiri. Dengan mengupah beberapa orang pekerja terutama golongan ibu tunggal telah berjaya meningkatkan produktiviti.

Apa yang penting adalah pembungkusan kerepek rempeyek ini perlu berkualiti dan dapat memikat hati pembeli. Kita perlu melabur sedikit untuk memberi good impression terhadap produk kita, kata Mbok lagi.

Satu lagi strategi penting dalam memastikan kejayaan bisnes Mbok adalah sikapnya yang mesra dengan sesiapa sahaja, terutama kepada pekedai atau pemilik stesen minyak. Ke mana-mana pergi semua orang mengenali Mbok dan tahu apa produk yang hendak dijualnya. Beliau sendiri akan bergerak dari satu tempat ke satu tempat menghantar bekalan stok, memungut hasil jualan dan mempromosi produknya.

Untuk berjaya dalam bisnes kita jangan tamak, nasihat Mbok sebelum mengakhiri perbualan ringkasnya. Apa yang penting kita perlu pandai menjaga hati semua orang terutama pelanggan kita.

No comments:

Post a Comment