Sunday, May 16, 2010

Membina Budaya Usahawan

Salam Ceria dan Selamat Pagi,

Hari ini merupakan hari Isnin yang ketiga dalam bulan Mei 2010. Harap kita semua sihat, ceria dan memiliki motivasi yang tinggi. Sudah lama tidak berkongsi idea dan pengalaman dalam laman blog ini. Minda membuak-buak untuk mencurahkan pendapat di atas layar yang boleh diakses di mana-mana permukaan dunia.

Penulisan kali ini cuba untuk mengupas satu persoalan yang menarik iaitu berkenaan budaya usahawan di kalangan masyarakat kita. Di sesetengah masyarakat budaya ini telah lama hidup dan mekar di hati pendokongnya. Jika dulu, kita sering diteladani oleh masyarakat Cina yang amat maju dan kehadapan dalam bidang perniagaan atau usahawan. Masyarakat Cina amat berdikari dalam meneruskan perniagaan walaupun secara kecil-kecilan.

Malah saya percaya perniagaan masih lagi dikuasai sebagai besar oleh masyarakat Cina. Rata-rata kalau kita ke pusat-pusat perniagaan dan pasaraya perniagaan dimiliki oleh kaum Tionghua ini. Apabila satu hari mengajukan persoalan ini kepada isteri penulis, beliau dengan cepatnya menyimpulkan perniagaan merupakan satu budaya dalam masyarakat Cina. Jika kita lihat dan baca sejarah, sejak turun temurun masyarakat yang pernah menjadi imigran dan berhijrah ke Tanah Melayu dan Kepulauan Borneo ini amat tinggi daya survivalnya. Mereka amat kurang bergantung kepada bantuan kerajaan. Sebaliknya atas sikap saling bantu sesama mereka, perniagaan yang kecil terus membesar dari masa ke semasa.

Kekentalan ini telah menjadi sebati dalam diri mereka. Isteri penulis pernah mengimbaskan suatu ketika, sewaktu masih bersekolah di SK Gita, Kuching dan berjalan kaki dari rumah di kawasan penempatan sementara di Kampung Semerah Padi (berhampiran Kubah Ria) telah melihat sendiri gerai-gerai kecil menjual sayur-sayuran didirikan di tepi jalan. Kini setelah 30 tahun berlalu penulis bersama isteri dapat melihat sendiri bertapa majunya perniagaan mereka. Gerai-gerai kecil masih lagi tetapi hanya untuk meletakkan barangan seperti buah-buahan tempatan. Sebaliknya di belakang gerai tersebut telah tersergam kukuh sebuah bangunan kedai yang menempatkan pelbagai produk harian dari sayuran, ikan, barangan dapur dan sebagainya.

Penulis percaya, tiga puluh tahun dahulu mungkin gerai ini tidak menggaji pembantu kedai dan perniagaan di bantu oleh ahli keluarga sendiri. Tetapi pada masa kini, perniagaan yang berkembang telah menyediakan ruang pekerjaan bukan sahaja kepada ahli keluarga yang sudah tentu bertambah sebaliknya kepada pencari kerja dari bangsa lain.

Inilah realitinya jika kita percaya budaya usahawan sebenarnya menjamin kepada pembangunan ekonomi negara secara umumnya. Oleh demikian, membina budaya usahawan boleh ditanamkan di kalangan masyarakat kita. Sebagai langkah permulaan, budaya ini boleh diamalkan di kalangan ahli keluarga kita. Anak-anak perlu dididik tentang bagaimana hendak memulakan perniagaan secara kecil-kecilan. Biarlah ibu bapa memberi sedikit dana sebagai modal dan bersama-sama menjadi mentor pelaksanaan dan pembudayaan usahawan ini.

No comments:

Post a Comment