Sunday, May 23, 2010

The World Is Flat

Saya baru memulakan pembacaan buku The World is Flat karya Thomas Friedman, tetapi dalam terjemahan oleh Institut Terjemahan Negara. Karya terjemahan ini adalah alternatif kepada pembaca yang ingin memahami buku asal Friedman dalam bahasa Malaysia. Bagi saya buku terjemahan ini banyak membantu dari segi kefahaman dan kelajuan proses membaca.

Secara sepintas lalu buku ini adalah berkenaan dengan situasi sosio-ekonomi semasa di dunia ini yang menyaksikan tiada apa yang mustahil berlaku di barat dan timur. Setiap perkembangan dan perubahan teknologi akan turut dirasai oleh semua masyarakat di seluruh pelusuk dunia. Sebagai contoh pengenalan internet sejak penghujung tahun 1990an telah memudahan perhubungan dan pertukaran maklumat berlaku seluruh dunia. Dalam dunia e-dagang sebagai contoh, peminat buku tidak perlu untuk terbang berpuluh-puluh batu ke Amerika atau negara Eropah semata-mata mengunjungi kedai buku ternama. Sebaliknya mereka boleh membelek, membaca dan membeli buku hanya di rumah masing-masing. Pembelian secara online telah membuktikan bumi ini telah rata. Tiada halangan dan sempadan kepada kita untuk menikmati kemudahan membeli buku yang terkini dan berkualiti.

Outsourcing atau penyumberan luar merupakan satu fenomena yang membuktikan bumi ini telah rata. Di dalam dunia yang pantas bergerak dan segala-galanya adalah duit, kekurangan masa dan tenaga telah menjadikan konglomerat dan syarikat-syarikat besar di Amerika memerlukan tenaga pakar luar untuk penyumberan luar. Sebagai contoh, doktor yang menjalankan imbasan (scan) ke atas pesakit akan menghantar hasil imbasan untuk dibaca oleh pakar-pakar dari India, Australia atau China. Kemudian pakar-pakar luar ini membuat tafsiran dan menulis laporan untuk digunakan oleh doktor di Amerika. Bayangkan ketika doktor Amerika tidur atau berehat, kerja-kerja penafsiran telah dilakukan melalui penyumberan luar. Faedahnya mereka dapat mempercepatkan urusan perubatan dan ini mengurangkan beban pentadbiran dan pengurusan dengan bantuan pakar dari luar. Selain itu juga, kos penyumberan luar juga adalah lebih murah jika dibandingkan dengan mendapatkan perkhidmatan dari doktor di Amerika sendiri.

2 comments:

  1. Menarik. Boleh jadi idea bisnes ni...:)

    ReplyDelete
  2. Sekarang pun dah banyak bisnes outsourcing yang boleh diceburi oleh banyak orang yang berminat. Sebab itulah banyak iklan yang menawarkan kerja kepada sesiapa yang ingin membuka pejabat di rumah. Sebagai contoh, jadi tukang taip. Tapi persoalannya di mana syarikat yang ada menawarkan peluang perniagaan ini?

    ReplyDelete