Monday, November 1, 2010

Makna Kehidupan

Salah satu tanggung jawab kita adalah mencari apakah makna kehidupan. Dalam erti kata lain kita perlu menetapkan tujuan hidup kita. Maka kita perlu menetapkan apakah matlamat yang hendak dicapai dan sebuah kehidupan sehingga ke akhir hayat.

Berbeza dengan kehidupan yang kita layari tanpa matlamat, ibarat nakhoda kecewa yang membawa bahtera tanpa arah tujuan merentas lautan yang tidak bertepian. Akhirnya kapal akan musnah lantaran kehabisan bekal makanan dan anak-anak kapal akan kehilangan semangat juang dan mula memberontak.

Matlamat yang jelas adalah satu cita-cita yang akhirnya akan dapat dicapai. Matlamat jelas mempunyai satu pencapaian yang spesifik dan menetapkan masa, kos dan sumber yang perlu untuk mencapainya. Seorang pembuat kuih mempunyai matlamat yang jelas apabila beliau ingin menjual sebanyak 200 biji kuih pada setiap pagi untuk mendapatkan pendapatan harian yang mencukupi untuk menampung kehidupannya dan keluarganya.

Seorang jurutera bangunan mempunyai cita-cita jelas apabila dia berazam untuk menyiapkan sebuah bangunan dalam tempoh 5 bulan. Para pelajar yang bakal menghadapi peperiksaan besar seperti PMR, SPM dan STPM mempunyai satu azam yang jelas jika membuat persediaan rapi selama sepuluh bulan bagi menghadapi peperiksaan. Apabila dihari peperiksaan mereka mudah untuk menjawab soalan dan akhirnya mendapat keputusan yang cemerlang.

Bayangkan sebuah kehidupan tanpa matlamat. Sudah tentu sentiasa dalam kerugian. Setiap hari masa, tenaga dan sumber habis berlalu dan digunakan dengan sia-sia tanpa mencapai sesuatu yang bermakna.

Kehidupan seperti duduk bercakap-cakap atau lepak di bangku di pasaraya tanpa ada tujuan tertentu merupakan suatu pembaziran masa dan tenaga. Sekiranya masa digunakan selama 3 jam atau lebih, selama itulah segala peluang dan ruang terlepas begitu sahaja.

Sebagai seorang peniaga kuih masa tiga jam boleh menjana pendapatan berpuluh-puluh ringgit. Seorang jurutera boleh meninjau bangunan yang sedang dalam pembinaan dan mungkin dapat mengenalpasti terlebih awal apakah kerja-kerja yang perlu diperbaiki atau dipertingkatkan. Manakala bagi seorang pelajar masa selama 3 jam adalah kesempatan untuk mengulangkaji pelajaran yang bakal dapat menaikkan gred markah dalam peperiksaan.

Jadi pada hari ini marilah kita mengimbas kembali apakah matlamat yang sudah dicapai oleh kita pada hari semalam. Selepas itu, tetapkan matlamat untuk hari ini, esok, sebulan akan datang dan sebagainya.

2 comments:

  1. Salam:

    Firman Allah," Dan tidak Aku jadikan jin dan manusia kecuali untuk mengabdikan diri kepadaKU."

    ReplyDelete
  2. Salah satu tujuan utama kita adalah beribadah kepada Allah iaitu mengerjakan amalan fardu ain dan menambah sebanyak-banyak ibadah sunat.

    ReplyDelete