Wednesday, June 9, 2010

Mendalami Pengetahuan Ekonomi

Salam ceria dan salam sejahtera.

Tinggal dua hari lagi kita akan disibukkan dengan pertandingan bola sepak Piala Dunia di Afrika Selatan. Perlawanan pertama dan pembukaan antara Mexico dan Afrika Selatan akan diadakan pada Jumaat ini jam 10.00 malam. Kepada kaki bola inilah saat-saat yang ditunggu untuk menyertai karnival selama satu bulan. Syabas kepada peminat bola sepak yang tetap setia kepada pasukan kegemaran masing-masing.

Penulis juga peminat setia kepada kejohanan bola sepak yang besar seperti ini. Alangkah bertuahnya jika suatu hari nanti kita dapat menyaksikan secara langsung anak-anak muda dari Malaysia. Entahlah bilalah saat itu akan menjelma. Pasukan bola sepak negara perlu mendapat banyak pendedahan dan kemahiran yang tinggi bagi menyaingi pasukan negara lain yang lebih hebat.

Kejohanan bola sepak ini bukan satu permainan yang seronok-seronok untuk dilangsungkan sahaja. Sebenarnya negara yang berjaya diberi pengiktirafan untuk menganjurkan pertandingan yang besar seperti ini akan mendapat rahmat dari segi ekonomi. Bayangkan negara yang menganjur akan menerima beribu-ribu pelancong yang datang semata-mata untuk menyokong pasukan negara mereka. Selain itu, pihak iklan, penaja dan media massa dari seluruh dunia datang untuk membuat liputan. Sehubungan itu, banyak industri seperti pelancongan, makanan, hospitaliti dan sebagainya terus berkembang secara mendadak.

Bayangkan kejohanan seperti ini akan memberi pulangan berbillion RM kepada negara Afrika Selatan untuk tempoh beberapa bulan ini. Selain itu juga, melalui langkah pembinaan kemudahan infrastruktur dan prasarana seperti jalan raya, stadium, hotel dan sebagainya akan dapat menjana pendapatan negara dan rakyatnya. Sudah tentu KDNK akan meningkat pada tahun ini.

Penulis sendiri amat tertarik untuk mendalami pengetahuan mengenai ekonomi. Itu cerita tentang bola sepak yang sedang hangat dan menjadi demam kepada peminat bola sepak seluruh dunia. Seterusnya penulis sering berfikir mengenai isu subsidi yang sedang hangat dibincangkan di dada akhbar utama di dalam negara. Berdasarkan dapatan dari kumpulan Lab Rasionalisasi Subsidi, Ketua Pegawai Eksekutif PEMANDU, Senator Datuk Seri Idris Jala mendapati sekiranya amalan pemberian subsidi ini tidak dikaji semua akan menyebabkan negara dibebani dengan hutang dan boleh menjadi negara bankrap menjelang 2019.

Sudah tentu kenyataan ini amat mengerunkan semua pihak. Tidak kurang juga mendapat kritikan dan pandangan yang amat tajam dan sinis daripada pelbagai pihak terutama ahli-ahli ekonomi tempatan. Ramai berpendapat pemberian subsidi perlu diteruskan untuk kesejahteraan rakyat terutama golongan yang kurang berkemampuan atau berpendapatan rendah.

Ada juga yang bersetuju pemberian subsidi terpilih perlu dilaksanakan oleh pihak kerajaan bagi memastikan matlamat bantuan ini akan sampai kepada golongan sasar. Manakala golongan yang berkemampuan perlu sedar kebergantungan mereka kepada subsidi ini akan berakhir dan mereka bersama-sama berganding bahu bersama dengan kerajaan untuk menjayakan matlamat ini.

Penulis sendiri pula lebih optimis dengan penemuan yang telah dibentangkan oleh pihak PEMANDU ini. Penulis sendiri tidak menghadiri program terbuka untuk mendengar taklimat mengenai penemuan ini. Kebanyakan maklumat adalah hasil bacaan dari dada-dada akhbar dan siaran berita. Oleh demikian, pemberian subsidi terpilih amatlah tepat untuk menjamin kestabilan ekonomi negara agar melahirkan rakyat yang berdikari dan sanggup untuk membantu golongan yang kurang berkemampuan.

Tidak cukup dengan kisah Piala Dunia dan Subsidi, satu lagi perkara yang menarik perhatian penulis ialah kekurangan gula dalam pasaran. Bagi satu kemelut yang tidak akan dapat berakhir. Terdapat khabar kononnya peruncit akan memboikot atau mengadakan demo bagi mendesak kerajaan menkaji semula kawalan harga terhadap gula. Mereka amat bersetuju biarlah harga gula ditentukan oleh pasaran bebas.

Terdapat pro dan kontra tindakan ini. Bagi penulis, biarlah kawalan harga gula dikenakan memandangkan banyak golongan yang pastinya terjejas jika harga gula ditentukan oleh pasaran bebas. Tetapi penulis lebih suka tidak membeli gula kerana pengambilan gula secara berlebihan akan mendatangkan kemudaratan kepada kesihatan. Jadi penulis kurang terkesan sedikit kepada isu tuntutan untuk menaikkan harga gula.

Namun, tanpa kawalan sudah pasti mengundang kepada bahaya inflasi. Inflasi mungkin akan berkembang jika harga-harga barangan keperluan seperti gula, tepung, telur, beras dan sebagainya tidak di kawal. Kita masih ingat sejak kenaikan harga minyak telah mendorong kenaikan harga barangan lain. Naik minyak semua barangan naik, akan tetapi bila harga minyak petrol turun lain pula jadinya. Harga barang pula enggan diturunkan oleh peniaga.

Oleh demikian, untuk memastikan kesejahteraan struktur ekonomi ini berlangsung terdapat beberapa saranan agar kita bersikap qanaa iaitu bersyukur dengan apa yang ada dan satu lagi tambahan ialah zuhud iaitu tidak terlalu mengharap atau mencintai apa yang ada didunia ini.

Diharap dengan tulisan ini, penulis akan dapat berkongsi sedikit pandangan mengenai pengetahuan ilmu ekonomi kepada pembaca sekalian.

No comments:

Post a Comment