Sunday, June 20, 2010

Keruh di Muara

Seeokor seluang menyusur dasar sungai Kencana untuk mencari rezeki buat hari ini. Perutnya kelaparan lantaran semalaman tidak menjamah makanan kerana takut keluar dari lubuknya. Bunyi deruan enjin dan bot nelayan tidak henti-henti mengecutkan perut seluang. Kebimbangan berasas apabila ramai kaum keluarganya yang hilang atau terkorban akibat jaring yang tidak mengenal sesiapa. Seluang takut nasibnya akan sama seperti kawan-kawannya yang lain yang tidak menghiraukan nasihat orang tua tentang kerakusan manusia menangkap ikan-ikan tanpa belas kasihan. Seluang sering terdengar banyak yang kehilangan ibu, ayah, jiran, sahabat handai malah ikan-ikan remaja.

Seluang telah maklum akan kerakusan manusia. Tidak cukup dengan jaring, tuba juga sekali sekala digunakan untuk membunuh kaum keluarganya. Racun tuba tidak mengenal ikan yang bersembunyi dilubuk masing-masing. Mula-mula kepala mula pening dan terasa loya. Mata juga menjadi kemerah-merahan. Akibat tidak tahan banyak ikan yang berenang ke permukaan air untuk mendapatkan oksigen. Lantaran itu amat mudah untuk nelayan mencekup ikan-ikan yang kealpaan dan kemabukan.

Seluang berenang perlahan-lahan sambil mencari makanan di celah-celah akar. Perasaan tidak keruan melanda apabila tidak kelihatan kelibat ikan-ikan yang lain. Adakah ikan-ikan lain masih lagi ketakutan dan bersembunyi di lubuk masing-masing. Jika tidak memenuhi tuntutan fitrah untuk mengisi perutnya yang kelaparan sudah tentu lebih senang seluang bersembunyi untuk menyelamatkan dirinya.

Akhirnya seluang sampai di simpang sungai Kencana dengan sungai utama Batang Belalang. Di situ seluang tahu letaknya lubuk-lubuk sang keli. Kelibat keli pun tidak kelihatan pada pagi ini. Masih bersembunyi ka keli, bisik seluang seorang diri. Seluang mula perasaan pertukaran air di simpang sungai itu. Air kelihatan keruh dan mengganggu penglihatan dan menyukarkan pernafasan seluang.

Seluang tertanya-tanya seorang diri kenapakah air di simpang ini keruh. Selama ini amat jarang sekali kejadian keruh yang amat teruk sehingga menyukarkan penglihatan dan pernafasan. Mungkin malam tadi hujan turun dengan lebat di kawasan hulu sungai. Tapi sekiranya hujan lebat sudah tentu air bah melanda kawasan hilir sungai. Air yang cetek sudah tentu ada kejadian lain yang berlaku di hulu sungai. Persoalan seluang tidak terjawab lantaran tiada sesiapa yang boleh membantunya.

Deruan enjin sayup-sayup ditelinga seluang. Bunyi ini semakin lama semakin kuat dan menghampiri simpang sungai itu. Seluang mula menyembunyikan diri berhampiran akar-akar kayu yang besar. Seluang takut bilah-bilah enjin akan mengoyakan tubuhnya yang kecil itu. Selang beberapa ketika enjin dimatikan. Sepantas itu juga terdengar air di sungai terkocak perlahan-lahan di belah pengayuh. Seluang terdengar deburan air sungai amat hampir tempatnya bersembunyi. Sudah tentu jala di tebarkan oleh nelayan yang rakus itu.

Seluang mula kebingungan. Bimbang menjalar di hatinya takut menjadi kerakusan manusia yang tidak mengenal belas kasihan kepada nasib ikan-ikan yang mendiami dasar sungai kencana. Perasaan gelisah ini telah menyesakkan perasaan dan nafas seluang. Akibat tidak tahan, seluang mengambil keputusan untuk mengambil oksigen di atas permukaan barang sebentar.

Seluang mula mengeluarkan muncungnya. Lega seketika. Barulah tenang fikiran dan penglihatan mula terang. Ketika di atas permukaan air inilah seluang ternampak kelibat nelayan-nelayan yang rakus. Tiba-tiba seluang ternampak berpuluh-puluh bangkai keli, toman, sepat, puyu dan seluang terapunga-apung di atas permukaan air. Pada masa yang sama kelihatan ikan-ikan yang tercungap-cungap untuk mendapatkan oksigen. Sepantas itu nelayan mencedok dan menangkap ikan yang hampir nazak.

Alangkah terperanjatnya seluang apabila dengan kasar tubuhnya di rentap dari permukaan air. Sepantas itu juga seluang dilemparkan ke dalam perut perahu yang telah menempatkan ikan-ikan yang berjenis-jenis dalam keadaan menjadi bangkai dan separuh mati. Seluang berbisik bencana apakah yang telah melanda dasar sungai Kencana ini.

1 comment: