Wednesday, December 15, 2010

6 Cara Untuk Mengekalkan Tenaga

Salam hari Khamis pada minggu ketiga bulan Disember 2010. Lebih kurang 14 hari lagi kita akan memasuki era tahun baru. Tahun baru yang bakal menjanjikan seribu harapan dan cita-cita kita yang diazamkan pada tahun 2010 semakin dihampiri.

Dalam kita berusaha mencapai matlamat kita kena berkerja. Setiap masa kita berfikir, melakukan aktiviti bekerja dan sebagainya. Pada masa yang sama, kita akan menggunakan tenaga kita untuk tujuan tersebut. Pada pagi hari, tenaga kita berada pada tahap maksimum, dan menjelang petang aras semakin menyusut. Malah menjelang pukul 7 malam sudah mula keletihan dan mengantuk.

Artikel dalam blog hari ini ingin berkongsi bagaimana untuk mengekalkan tenaga dalam badan agar sentiasa berada dalam tahap maksimum. Setiap minggu selama tujuh hari kita akan mengisi dan menikmati masa sepenuhnya tanpa perlu merasa beban dengan tugasan yang sentiasa mencabar dan bertambah setiap hari.

Langkah 1: Tidur yang mencukupi.
Tidur adalah satu tuntutan fitrah manusia. Tidurlah secukupnya antara 6 hingga 8 jam. Kalau perlu tidur sejenak (30 minit) pada waktu tengah hari untuk merehatkan minda dan badan.

Tidur yang cukup akan memulihkan badan yang kepenatan. Tidur yang mencukupi akan meningkatkan daya fokus, kreativiti dan kemahiran berfikir secara analitis.

Ingat orang yang berjaya bukan memiliki masa yang banyak untuk tidur tetapi berupaya mengamalkan sikap tidur yang mencukupi.

Langkah 2: Merancang Masa Rehat
Berehatlah bila merasakan diri perlu untuk berehat. Ubahlah perhatian kita untuk memantapkan semula fokus selepas ini.

Rehat sebentar selama satu minit adalah amat berfaedah. Kaedahnya dengan memejam mata sambil menarik nafas panjang dan menghembuskan secara lembut dan perlahan-lahan. Sekali sekali lihatkan alam sekitar yang hijau untuk menyegarkan mata kita.

Tumpuan terlalu lama akan mendatangkan kepenatan kepada minda dan badan. Oleh demikian, alihkan perhatian sementara kepada perkara-perkara lain.

Langkah 3: Sentiasa Mengemaskini Senarai semak
Senarai semak yang dimaksudkan ialah senarai perkara yang dirancang untuk dilakukan pada hari ini. Kemaskini sentiasa untuk memberitahu minda kita perkara yang paling penting dan tidak penting.

Kaedah ini akan menjimatkan tenaga tanpa kita bersusah payah untuk mengingati apa perkara yang sudah dilakukan, atau apa tugasan yang perlu diselesaikan. Ianya umpama Personal Assistance (Pembantu Peribadi) untuk memberitahu setiap perkara yang perlu dilakukan dan perkara yang sudah diambil tindakan.

Langkah 4: Santai dan Senam
Ambil peluang untuk bersantai di Taman Bunga atau tempat yang mendamaikan minda. Berjalan atau jogging akan membantu menguatkan otot kita. Aktiviti mengeluarkan peluh ini akan menguatkan jantung kita. Apabila jantung sihat, semua anggota Insya-Allah akan sama-sama sihat sejahtera dan berfungsi dengan baik.

Kata orang badan sihat minda cergas.

Langkah 5: Menghargai Diri Sendiri
Upah atau beri ganjaran apabila kita selesai melakukan sesuatu tugas. Bentuk upah atau ganjaran bergantung kepada kemampuan, kreativiti dan keadaan semasa.

Contohnya, makan makanan kegemaran seperti ayam penyet. Tengok wayang cerita terkini.

Puji diri sendiri atau kejayaan sendiri. Berkongsi pengalaman manis dengan orang lain. Ini akan dapat menyalurkan aura positif kepada orang lain. Macam iklan pencuci lantai wangi yang dapat dinikmati oleh jiran-jiran sebelah rumah.

Langkah 6: Ingat Allah banyak-banyak dan berdoalah
Solat fardu, solat sunat dan doa banyak secara spesifik dalam BM.

Saturday, December 11, 2010

Division of Labour

Salam pagi Ahad.

Pagi ini sempat menelaah bahan bacaan bertajuk The Wealth of Nation di dalam sub tajuk division of labour. Buku ini adalah sebuah karya Adam Smith, seorang ahli ekonomi terkenal yang telah menghasilkan karya ini pada tahun 1776. Walaupun buku tulisan beliau telah berusia melebihi 200 tahun tetapi terdapat beberapa teori dan konsep ekonomi yang ditulis beliau masih lagi relevan dalam kehidupan kita pada hari ini.

Antara konsep yang menarik hati saya ialah mengenai konsep division of labour atau pengkhususan dalam pekerjaan. Adam Smith telah membawa satu contoh mudah pengamalan konsep pengkhususan pekerjaan di dalam sebuah kilang membuat pin. Untuk membuat satu biji pin telah melibatkan beberapa orang. Proses bermula dari menarik wayar, memotong, menyambung dengan kepala pin dan sebagainya.

Dalam contoh yang lain pula, dalam konteks penghasilan sehelai baju, untuk menghasilan sehelai kain, benang telah ditenun, kemudian kain yang siap dipotong mengikut reka bentuk tertentu. Kemudian dijahit dan dicantum setiap bahagian. Baju yang telah siap diseterika, dibungkus dalam kilang dan dihantar ke setiap kedai-kedai baju. Kita sebagai pengguna hanya menggunakan duit atau wang mendapakan baju tersebut tanpa bersusah payah untuk menghasilkan kain dari benang dan terlibat dalam proses mereka bentuk dan menjahit pakaian sendiri.

Oleh demikian, pengkhususan kerja akan menyenangkan kehidupan harian kita dan dapat menjimatkan masa kita.

Wednesday, November 17, 2010

Menyuburkan Ekonomi Islam

Salam Hari Tasyrik yang bermula hari ini dan berakhir pada Asar Sabtu ini. Dengan adanya kelapangan kelak dapat beramai-ramai membaca takbir raya di rumah-rumah selepas menunaikan ibadah solat fardu dan ibadah yang lain.

Hari ini ingin pula untuk menulis tajuk menyuburkan ekonomi Islam. Berdasarkan pendapat penulis salah satu cara untuk menyuburkan perkembangan ekonomi Islam ialah dengan memahami konsep tolong menolong.

Konsep tolong menolong merupakan cabang utama yang perlu difahami, dihayati dan diamalkan. Konsep ini perlu diamalkan pada hari ini dan tidak semata-mata menjadi retorik dalam perbualan dan perbincangan kita. Maksud saya, tolong menolong tanpa bersyarat. Contohnya, sekiranya aku sudah kaya kelak, aku berazam untuk menolong orang miskin.

Tolong menolong boleh dilakukan pada bila-bila masa sahaja. Tanpa perlu modal yang besar. Tidak semestinya melibatkan wang ratusan ringgit. Mungkin seringgit dua atau sepuluh ringgit adalah memadai, termasuk segala kemampuan kita.

Contoh situasi tolong menolong yang boleh diamalkan ialah membeli produk buatan orang kita atau lebih spesifik dihasilkan oleh masyarakat Islam. Dengan membeli produk mereka, ianya akan dapat menjana pendapatan kepada peniaga tersebut, pekerjanya mendapat gaji, pembekal dapat meng'clear' stok dapat dapat membeli stok baru. Keuntungan dapat digunakan untuk membayar zakat. Asnaf yang layak menerima zakat layak untuk menikmati bayaran zakat sekaligus meringankan beban kehidupan mereka.

Pendek kata, tolong menolong akan dapat mewujudkan kesejahteraan hidup semua masyarakat. Marilah kita mengambil kata-kata Saidina Ali r.a. 'Sekiranya kekayaan dikuasai oleh segolongan kaum maka saksikan kehancurannya'.

Kita tidak mahu golongan yang tidak berkemampuan terpaksa menjadi penjenayah semata-mata untuk mengisi perut mereka dan mereka yang dibawah tanggung jawabnya. Dengan kemakmuran ekonomi yang dinikmati oleh ramai orang maka masyarakat kita akan aman damai.

Selamat berfikir, dan mulakan amalan ini di kalangan ahli keluarga kita.

Monday, November 15, 2010

Hari Raya Qurban

Syukur alhamdulillah,

Esok kita di Malaysia akan merayakan Hari Raya Qurban.

Semalam, di Padang Arafah, umat Islam telah menjalankan ibadah wuquf yang merupakan salah satu rukun Haji.

Mari ramai-ramai ke surau dan masjid untuk menunaikan solat sunai Hari Raya Aidiladha dan mendengar khutbah hari raya.

Mudah-mudahan kita mendapat manfaat dan pengajaran dari sambutan Hari Raya Qurban kali ini.

Sunday, November 14, 2010

Membaca Sirah Nabawiyyah

Berdasarkan buku yang dihasilkan oleh Tuan Guru Nik Aziz bin Nik Mat menyarankan agar kita meluangkan masa sedikit setiap hari untuk membaca dan memahami teladan dalam sirah Nabi Muhammad s.a.w.

Antara kelebihan membaca dan memahami sirah Rasulullah s.a.w. ialah membolehkan kita untuk memahami Al-Quran dengan lebih mendalam. Ini disebabkan Rasulullah s.a.w. sendiri merupakan sebuah al-Quran yang bergerak.

Semua perbuatan, percakapan, gerak dan diam, cara berjalan, cara makan Nabi Muhammad s.a.w adalah contoh teladan dan akhlak terbaik kepada semua Umat manusia seluruh alam.

Insya-Allah dengan meluang sedikit masa setiap hari akan menjadikan buku setebal lebih kurang 500 ms akan dapat dihabiskan dalam tempoh 2 minggu.

Sampaikan Ilmu Walaupun Satu Ayat

Salam, syukur kepada Allah swt kerana kita berpeluang untuk berinteraksi dalam perkongsian ilmu dan amal.

Menyampaikan ilmu. Amat mudah dan murah. Mengajar ABC atau 123 dan Alif Ba Ta untuk membolehkan anak kita mengenal huruf-huruf adalah suatu ilmu yang amat bermanfaat kepada mereka.

Begitu juga dalam mencari ilmu. Merenung, mendengar ceramah atau kuliah dan juga membaca antara proses mencari ilmu. Ilmu ini akan bermanfaat jika dapat meningkatkan lagi kefahaman dan membantu meningkatkan lagi kualiti kehidupan kita.

Thursday, November 11, 2010

Salurkan RM10 Kepada Akaun Anak Anda

Anak adalah permata hati. Segala-galanya dicurahkan demi kasih dan sayang kita kepada mereka. Ini termasuk menyediakan persediaan kewangan kepada mereka.

Memandangkan pendidikan anak-anak adalah suatu komoditi yang amat berharga maka kita perlu membuat persediaan awal iaitu membuat tabungan kewangan untuk keperluan menbiayai pendidikan mereka kelak.

Bagi saya, antara langkah awal ialah membuka akaun simpanan di Tabung Haji. Lepas itu daftar dalam bahagian bill payment dalam maybank2u.com. Selepas hari gaji salurkan setiap RM10 kepada anak-anak. Jumlah setahun sudah tentu genap RM120. Amat mudah dan tidak membebankan.

Berbanding jika kita terpaksa menyimpan dalam jumlah yang besar, sudah tentu membebankan.
Ingat, menyimpan dalam tabung pendidikan anak-anak juga merupakan satu sedekah dan jika diamalkan dengan ikhlas akan memberi ganjaran pahala yang amat besar. Ianya juga satu Qardu Hassan iaitu pinjaman untuk mendapat keredaan dari Allah s.w.t tanpa mengharap balasan daripada anak-anak kita.

Fikir-fikirkanlah dan selamat beramal.........