Showing posts with label The World is Flate. Show all posts
Showing posts with label The World is Flate. Show all posts

Friday, May 28, 2010

Sediakan Payung Sebelum Hujan

Salam ceria. Salam Hari Sabtu. Salam Cuti-Cuti Sekolah dan Salam Satu Malaysia. Sekarang ni banyak salam yang boleh diungkapkan menunjukkan keramah mesraan masyarakat di bumi Malaysia yang bertuah. Pada masa yang sama, bersama-sama kita menyumbang untuk mengekalkan keharmonian dan kerukunan masyarakat yang pelbagai bilang kaum.

Jika semalam masyarakat di Malaysia meraikan Hari Wesak, mulai Selasa depan rakan kita di Sarawak dan Sabah akan meraikan perayaan Gawai Dayak dan Hari Keamatan. Perayaan yang pelbagai ini disambut dengan suasana yang riang ria. Sempena sambutan pelbagai perayaan ini diharap rakan-rakan kita sentiasa berwaspada terutama di jalan raya. Raya-raya juga... tetapi ingat berhati-hati ketika memandu.

Apa kata penulis memulakan blog pada pagi ini dengan berpantun... seronok sebenarnya berpantun.. dapat mengembangkan bakat dalam sastera. Lama dah tak bersastera tentu rindu... Selalunya kita yang membaca bahan dan karya sastera hasil nukilan penulis lain. Hari ini mari sama-sama kita cipta satu pantun untuk menyumbang kepada khazanah sastera negara kita.

Pantun berbunyi;

Nasi Dagang Ikan Bawal
Dibawa Berdayung Ke Kuala Igan
Bijak Rancang Laksana Awal
Sediakan Payung Sebelum Hujan

Cehwah... kepada sesiapa yang nak jawab pantun ni sila, jangan malu-malu.

Sebenarnya penulis masih lagi tercabar untuk mengupas persoalan yang ditimbulkan dalam falsafah ini. Falsafah tersebut adalah "Nasib Menyebelahi Mereka Yang Bersedia". Pendek sahaja pernyataan ini. Untuk pengetahuan rakan pembaca dan blog, falsafah ini saya kutip dari buku terjemahan Thomas Friedman bertajuk The World Is Flat. Kalau dalam buku bahasa Melayu bertajuk Dunia Sama Rata.

Saya berpendapat sikap suka bersedia lebih awal adalah sikap yang positif dan mulia. Tidak kira sama ada kita seorang pelajar, pekerja, penangggur dan juga suri rumah, sikap ini perlu ditanam dalam diri mulai sekarang. Kalau dalam pertandingan badminton setiap pemain ditentukan berdasarkan ranking. Datuk Lee Chong Wei, pemain negara kita menduduki rangking no.1. Jadi tentukan sikap suka bersedia awal ini menjadi antara rangking tertinggi dalam kehidupan kita.

Sikap ini akan memberi manfaat kepada kita, antara sebab-sebabnya adalah;

1. Persediaan awal para pelajar akan dapat memberi banyak kelebihan semasa menjawab soalan peperiksaan.

2. Saat-saat akhir menjelang peperiksaan tentu banyak bahan atau nota yang perlu untuk dibaca, jadi persediaan awal akan mengurangkan tekanan pada saat ini.

3. Apabila bersedia, kita sentiasa dalam keadaan yakin dan tenang, setenang air di laut. Laut selalu bergelora tetapi susah untuk melihat ketenangan di laut kan? Jadi untuk mencapai ketenangan seperti air di laut kena rajin berusaha lebih awal. Ini adalah sikap pro aktif, bertindak dahulu tanpa disuruh.

4. Persediaan awal akan menjadikan kita sentiasa mendahului orang lain atau pesaing. Dalam perniagaan kita perlu sentiasa ke hadapan meneroka potensi dan menjual produk kita yang lebih update kepada pelanggan.

5. Sikap bersedia awal akan dapat menjadikan minda kita kreatif dan bekerja sentiasa seperti meramal apakah keperluan masa hadapan. Kita juga akan tahu bagaimana hendak mengendalikan sesuatu perkara tanpa rasa kekok atau blur.

Oleh demikian, bersama-sama kita dalam keadaan bersedia. ASTRO selalu memberi pesan kepada pelanggannya, tinggalkan decoder anda dalam mode standby. Begitu juga kita supaya sentiasa dalam mode atau keadaan bersedia.

Thursday, May 27, 2010

Nasib Bersedia Awal

Salam ceria di pagi jumaat ini. Cuaca di kuching pagi ini cerah-cerah sahaja. Pagi ini kami merancang untuk breakfast di luar sempena dengan cuti. Cuti umum sempena Hari Wesak. Bawa anak-anak dan keluarga keluar untuk menikmati suasana cuti yang pasti menyeronokan bagi anak-anak setelah berhempas pulas mengulangkaji pelajaran dan cabaran menjawab soalan-soalan peperiksaan pertengahan penggal.

Pada pagi yang ceria ini saya ingin berkongsi dengan satu falsafah yang menarik ketika membaca buku terjemahan The World is Flat karya Thomas Friedman. Falsafah yang dimaksudkan adalah "Nasib akan menyebelahi kepada mereka yang bersedia". Ayat ini pendek sahaja tetapi makna daripada falsafah ini amat mendalam dan berguna sekali kepada kita.

Setiap hari hidup kita akan diisi dengan pelbagai aktiviti sama ada kerja sendiri, tugasan di pejabat atau anak-anak yang masih menuntut di bangku sekolah. Sehubungan itu, bagi menjadikan matlamat dan proses menyiapkan kerja atau tugasan dapat dilakukan dengan cepat dan sempurna, salah satu perkara yang perlu diambil kira ialah persediaan awal kita.

Persediaan awal yang dimaksudkan adalah ketika lapang dan senang kita mengkaji ilmu pengetahuan yang baru atau yang masih kurang difahami. Selain itu, kemahiran yang sedia ada perlu dipertingkatkan sewaktu cabaran sebenar belum lagi datang. In other words, during our free time we should sharpened our thought, knowledge and skills.

Banyak sekali contoh yang dapat kita lihat mengenai kejayaan kepada sesiapa yang rajin membuat persediaan awal. Contohnya Nik Nur Madihah, seorang pelajar yang mendapat 20A dalam peperiksaan SPM pada tahun 2008. Sudah tentu kejayaan ini tidak dapat diraih dengan senang lenang tanpa susah payah yang terpaksa dilalui oleh beliau. Penulis telah membaca beberapa catatan dalam akhbar dan buku mengenai Nik Nur Madihah yang terpaksa berulang alik dari rumah usangnya ke sekolah setiap hari dan menempuh perjalanan yang jauh. Selain itu, beliau turut mengulangkaji pelajaran sejak awal pagi lagi.

Oleh demikan, persediaan awal kepada kita suatu alat (tools) yang amat penting dalam meraih sebarang kejayaan yang diingini. Bermula hari ini setiap perkara yang hendak dilakukan perlu mempunyai perancangan jangka panjang yang rapi agar kehidupan yang pendek dan sementara di atas bumi yang sama rata (the world is flat) akan dapat dihadapi dengan jayanya.

Sunday, May 23, 2010

The World Is Flat

Saya baru memulakan pembacaan buku The World is Flat karya Thomas Friedman, tetapi dalam terjemahan oleh Institut Terjemahan Negara. Karya terjemahan ini adalah alternatif kepada pembaca yang ingin memahami buku asal Friedman dalam bahasa Malaysia. Bagi saya buku terjemahan ini banyak membantu dari segi kefahaman dan kelajuan proses membaca.

Secara sepintas lalu buku ini adalah berkenaan dengan situasi sosio-ekonomi semasa di dunia ini yang menyaksikan tiada apa yang mustahil berlaku di barat dan timur. Setiap perkembangan dan perubahan teknologi akan turut dirasai oleh semua masyarakat di seluruh pelusuk dunia. Sebagai contoh pengenalan internet sejak penghujung tahun 1990an telah memudahan perhubungan dan pertukaran maklumat berlaku seluruh dunia. Dalam dunia e-dagang sebagai contoh, peminat buku tidak perlu untuk terbang berpuluh-puluh batu ke Amerika atau negara Eropah semata-mata mengunjungi kedai buku ternama. Sebaliknya mereka boleh membelek, membaca dan membeli buku hanya di rumah masing-masing. Pembelian secara online telah membuktikan bumi ini telah rata. Tiada halangan dan sempadan kepada kita untuk menikmati kemudahan membeli buku yang terkini dan berkualiti.

Outsourcing atau penyumberan luar merupakan satu fenomena yang membuktikan bumi ini telah rata. Di dalam dunia yang pantas bergerak dan segala-galanya adalah duit, kekurangan masa dan tenaga telah menjadikan konglomerat dan syarikat-syarikat besar di Amerika memerlukan tenaga pakar luar untuk penyumberan luar. Sebagai contoh, doktor yang menjalankan imbasan (scan) ke atas pesakit akan menghantar hasil imbasan untuk dibaca oleh pakar-pakar dari India, Australia atau China. Kemudian pakar-pakar luar ini membuat tafsiran dan menulis laporan untuk digunakan oleh doktor di Amerika. Bayangkan ketika doktor Amerika tidur atau berehat, kerja-kerja penafsiran telah dilakukan melalui penyumberan luar. Faedahnya mereka dapat mempercepatkan urusan perubatan dan ini mengurangkan beban pentadbiran dan pengurusan dengan bantuan pakar dari luar. Selain itu juga, kos penyumberan luar juga adalah lebih murah jika dibandingkan dengan mendapatkan perkhidmatan dari doktor di Amerika sendiri.